‘Pak Long mahu yang terbaik untuk semua’

137

21 NOV: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ambil hati walaupun sering dijadikan sasaran netizen melepaskan geram berikutan tindakan tegas yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

Malah, Naib Presiden UMNO itu menerima perkara itu sebagai sebahagian daripada asam garam tugasnya selaku jurucakap kerajaan berhubung soal-soal berkaitan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).

Namun, beliau berhadap orang ramai memahami bahawa setiap keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkannya adalah berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya tahu ramai netizen yang marahkan saya… saya memahami perasaan mereka. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik dengan mendengar suara mereka dan membawa suara mereka ini ke mesyuarat khas MKN.

“Percayalah, Pak Long mahu yang terbaik untuk semua, sebagaimana Pak Long mahu yang terbaik untuk keluarga Pak Long, begitu juga Pak Long mahu yang terbaik untuk orang ramai. Pak Long sayang semua,” katanya melalui catatan dalam laman blog peribadinya.

Ismail Sabri memberitahu, setiap keputusan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai COVID-19 serta sidang khas MKN akan beliau laporkan secara harian dalam sidang media harian.

“Jadi, setiap laporan harian saya adalah berdasarkan keputusan mesyuarat yang dihadiri oleh sebahagian besar menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan. Bukan saya yang buat keputusan,” jelasnya.

Kebelakangan ini, sebahagian netizen menjadikan ruangan komen dalam sidang media Ismail Sabri yang disiarkan secara langsung melalui Facebook untuk menyuarakan pandangan mereka dalam isu-isu semasa termasuk pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan masalah kewangan.

Ismail Sabri ternyata memberi perhatian terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan beliau telah membaca beberapa komen netizen dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

Ahli Parlimen Bera itu juga bersikap sporting apabila netizen mahu ‘membida’ barangan yang dipamerkan di atas rak di belakangnya setiap kali beliau mengadakan sidang media secara langsung. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.