Kerjasama MN Pahang contoh ikutan terbaik

157

21 NOV: Pengukuhan kerjasama UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional terserlah selepas usul meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tanpa melalui proses pilihan raya diluluskan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan ini menyebabkan ADUN-ADUN DAP bertindak keluar dewan selepas kalah dalam undian tersebut.

“Pahang boleh menjadi model dan contoh ikutan terbaik buat negeri-negeri lain dalam memperkasa dan memperkukuhkan lagi kerjasama dan permuafakatan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional.

“Kejayaan hari ini juga menggambarkan kebijaksanaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mempelopori model kerjasama kukuh dan ampuh Muafakat Nasional (MN) antara dua parti tunjang orang Melayu Islam di Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

ASYRAF WAJDI DUSUKI

Dalam pada itu, Asyraf memberitahu pihaknya merakamkan penghargaan kepada Wan Rosdy yang telah mengilhamkan pindaan ini bagi meletakkan satu lagi asas yang kukuh demi kemakmuran di negeri tersebut.

“Bagi Pemuda UMNO, dengan mewujudkan lima ADUN lantikan tambahan, Menteri Besar boleh melantik wakil masyarakat dari kalangan profesional, ahli akademik, ulama, pemimpin wanita muda, belia, orang asli mahupun golongan orang kurang upaya (OKU).

“Ini seiring dengan konsep Dewan Negara di peringkat Parlimen Persekutuan, bagi mewujudkan keseimbangan dan menggalakkan partisipasi yang konstruktif daripada pelbagai golongan yang mewakili suara kelompok tertentu dalam masyarakat demi kelangsungan kemakmuran dan kesejahteraan negeri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.