455 individu ditahan ingkar arahan PKPP

14

21 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 455 individu atas kesalahan melanggar dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 427 telah dikompaun manakala 27 individu lagi direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (206), aktiviti pusat hiburan (72), tidak memakai pelitup muka (63), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (21) dan lain-lain (34).

“Sebanyak 2,779 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,544 anggota telah membuat pemantauan di 3,551 pasar raya, 5,069 restoran serta 1,862 penjaja, 1,182 kilang, 3,361 bank dan 509 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,112 terminal pengangkutan darat, 249 terminal pengangkutan air serta 96 terminal pengangkutan udara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta seorang penyeludup berjaya ditahan di samping tiga kenderaan berat berjaya dirampas dalam Op Benteng semalam.

Tegas beliau, pihak berkuasa juga telah membuat 306 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail berkata seramai 10,396 daripada 72,062 individu yang pulang ke tanah air dalam tempoh 24 Julai hingga semalam sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Seramai 404 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 61,262 individu dibenarkan pulang ke rumah, ” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.