UMNO, PAS, Bersatu mesti muafakat lawan DAP

528

20 NOV: Permuafakatan yang teguh antara UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu menghalang DAP daripada berkuasa semula di negara ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO tidak boleh lagi bergerak bersendirian kerana suasana politik ketika ini memerlukan ‘taayus’ dan ‘taawun’ (kerjasama).

Menurut beliau, parti itu tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia lama kerana rakyat hendak melihat personaliti, integriti dan perjuangan yang boleh diharapkan.

“Untuk berjaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti bukan dengan cara bergaduh, rebut kerusi banyak, tetapi UMNO, PAS dan Bersatu mesti bermuafakat kerjasama.

“Tanggungjawab UMNO sekarang ini adalah memimpin penyatuan Melayu-Islam supaya kita dapat bentuk sekuat-kuatnya penyatuan dan sekat kemaraan DAP semula dari menguasai kebobrokan yang dibuat.

“Kalau kita hendak kembali menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kalau orang Melayu UMNO, PAS dan Bersatu, insya-Allah kita akan menang dengan mudah. Kalau kita nak ubah dan cari formula lain dan apa lagi untuk memilih jalan berpecah itu terpulang, tapi saya akan tetap mempertahankan tanggungjawab UMNO adalah menyatupadukan orang Melayu,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian dalam sesi Wawancara CEPUMAS bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO Online malam tadi.

Annuar yang juga Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional (MN) menegaskan, UMNO mesti mempertahankan keputusan menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“UMNO membuat keputusan ‘No Anwar, No Dap’, saya pegang kejap tapi sekarang bukan ada rahsia lagi… sekarang ada orang yang cuba untuk meninggalkan keputusan parti itu dan hendak membawa satu hala tuju yang lain. Saya akan pertahankan pendirian saya, ‘No Anwar No DAP’,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan, menteri-menteri Kabinet dari UMNO seharusnya menyokong Belanjawan 2021, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama.

“Adakah nak tengok menteri-menteri UMNO setelah bentang belanjawan, menentang belanjawan? Adakah nak tengok menteri UMNO nak ‘bedal’ Perdana Menteri? Saya bukan begitu,” tegasnya.

Annuar berpandangan, selain memberi penerangan kepada akar umbi, pemimpin parti juga hendaklah berpegang teguh terhadap setiap keputusan yang dibuat dan menetapkan hala tuju untuk memenangi pilihan raya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.