Shamsul mohon Perak batalkan pembangunan hutan di Temelong

116

20 NOV: Kerajaan negeri Perak perlu menghentikan sebarang aktiviti pembalakan di keseluruhan daerah Lenggong yang mempunyai khazanah yang bernilai untuk dipelihara dengan sempurna.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, aktiviti pembalakan haram tersebut perlu dihentikan bagi memelihara hutan dengan sebaiknya daripada berlaku pencemaran dan kemusnahan alam.

Menurut beliau, Lenggong sangat berpotensi besar khususnya di sektor pelancongan apatah lagi kawasan tersebut merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Shamsul Anuar Nasarah
SHAMSUL ANUAR NASARAH

“Lenggong kawasan parlimen yang saya wakili. Ia kaya dengan keindahan alam semulajadi yang menjadi tarikan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Malah 2021 akan diktiraf Geopark Kebangsaan dan akan dicalonkan Lenggong Global Geopark 2023.

“Justeru ia lebih bernilai daripada pembalakan dan boleh menjana pendapatan kepada Negeri Perak. Saya fikir Kerajaan Perak perlu menghentikan sebarang aktiviti pembalakan di keseluruhan Daerah Kecil Lenggong.

“Adalah lebih besar keuntungannya jika sektor pelancongan dibangunkan dengan hutan sebagai aset utamanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli memberitahu pihaknya difahamkan pembangunan itu telah diluluskan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan negeri Perak yang melibatkan tiga buah kampung di daerah Lenggong.

Menurut beliau, perkara ini jika tidak dihentikan akan menyebabkan kawasan tadahan air dan kecantikan air terjun di samping pelbagai projek termasuk puluhan kolam ternakan udang galah bernilai jutaan ringgit yang dibangunkan sebelum ini bakal terjejas yang memberi kerugian kepada ekonomi penduduk.

“Saya mengetahui tiga buah kampung iaitu Kampung Luat, Kampung Chepor dan Kampung Beng Lenggong akan menerima kesan jika ini dilakukan. Saya mengetahui ada pimpinan kampung yang menyokong.

“Ia adalah daripada pimpinan kampung sewaktu kerajaan PH memerintah. Realitinya penduduk kampung membantah. Saya tahu mereka membantah kerana bantahan itu, sampai kepada saya selaku Ahli Parlimen Lenggong.

“Saya dimarahi penduduk yang mengundi saya kerana pembalakan dikawasan ini. Ia tidak memberi kebaikan kepada mereka. Kuasa meluluskan kawasan pembalakan adalah kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang harus segera dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Malaysia dan Pengarah Jabatan Perhutanan Perak bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut.

“Saya Ahli Parlimen mereka. Dan wajib saya menjaga kepentingan mereka. Malah, saya ingin nyatakan di sini. Kampung Luat Lenggong adalah kampung saya sendiri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.