PKPB 4 negeri tamat, Kelantan mula esok

817

20 NOV: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Johor, Melaka dan Terengganu mulai esok.

Namun, Menteri Kanan Pertahanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB masih berkuat kuasa di Kulim, Kedah serta Kota Tinggi dan Mersing, Johor.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan laporan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

“Sehingga 18 November 2020, situasi semasa di seluruh negara masih menunjukkan trend peningkatan kes positif COVID-19 dengan jumlah kes aktif dan kadar kebolehjangkitan masih lagi tinggi.

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa negeri menunjukkan trend penurunan kes positif COVID-19 dan dalam keadaan terkawal iaitu di Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Secara terperinci, hanya terdapat 85 kes aktif direkodkan di Kedah di mana 23 kes aktif dikesan di Kulim manakala Melaka hanya mempunyai 48 kes aktif.

Kes aktif di Johor pula mencatatkan penurunan kecual di Kota Tinggi (36 kes) dan Mersing (8 kes).

Di Terengganu, hanya terdapat 19 kes aktif direkodkan setakat 18 November lalu.

Ismail Sabri mengingatkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa di empat negeri terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kelantan selama dua minggu mulai esok hingga 6 Disember berikytan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri itu.

“SOP bagi PKPB ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh dirujuk dalam laman sesawang MKN,” jelasnya.

Selain Kelantan, negeri-negeri yang masih dikenakan PKPB adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Perak.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di K-Avenue, Megacity, Penampang mulai 22 November hingga 5 Disember ini.

Beliau menambah, sebanyak 110 kes positif direkodkan di lokaliti tersebut setakat 16 November lalu.

“Pelaksanaan PKPD ini akan merangkumi pejabat, kuarters pekerja dan tapak pembinaan yang melibatkan sebanyak 400 orang penduduk,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Anjung Teduh Felda Sahabat di Lahad Datu berakhir seperti yang dijadualkan hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.