Pinda Perlembagaan sebelum lantik wakil rakyat automatik

32

20 NOV: Undang-undang berkaitan pilihan raya mesti dipinda sekiranya cadangan wakil daripada parti yang sama mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) secara automatik ingin dilaksanakan.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pindaan itu melibatkan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri.

“Jika kita lihat perkembangan semasa kini, cadangan yang diusulkan itu ada logiknya, bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat dan untuk keselamatan nyawa rakyat dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19.

“Namun, Perlembagaan perlu dipatuhi, melainkan undang-undang dipinda di mana-mana bahagian yang perlu,” katanya, hari ini.

wan ahmad wan omar
WAN AHMAD WAN OMAR

Beliau menambah, dari sudut keadilan kepada parti-parti politik dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini, apabila berlaku kekosongan luar jangka dan jika kerusi perlu diisi, maka pada kebiasaannya kerusi itu diisi oleh seorang wakil rakyat yang baharu dan dipilih oleh rakyat.

“Maka wakil rakyat yang mewakili sesebuah parti itu akan diberi peluang untuk bertanding merebut kerusi yang kosong dan rakyat di kawasan terlibat mendapat peluang untuk memilih seorang wakil mereka yang baharu dalam usaha mengharapkan perkhidmatan lebih baik, dan ia berlaku secara adil,” jelasnya.

Pada masa ini, terdapat kekosongan dua kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN di negara ini berikutan kematian penyandang-penyandangnya iaitu Datuk Liew Vui Keong (Parlimen Batu Sapi), Datuk Hasbullah Osman (Parlimen Gerik) dan Manis Muka Mohd Darah (DUN Bugaya).

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi ditangguhkan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat berikutan situasi COVID-19 yang masih belum reda di Sabah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.