Peruntukan RM10 juta bina Kompleks Sukan Jasin

102

20 NOV: Sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Melaka bagi membina Kompleks Sukan Jasin yang dijangka bermula awal tahun hadapan.

Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, fasiliti sukan yang akan dibangunkan di Jasin Bestari itu akan melibatkan kawasan seluas 1.61 hektar menerusi peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan tempoh pelaksanaan projek selama 12 bulan.

Menurut beliau, pelbagai kemudahan yang akan dibina di kompleks sukan tersebut termasuk gelanggang futsal dan bola jaring, dewan tertutup menempatkan dua gelanggang badminton, auditorium berkapasiti 100 orang, asrama, pejabat pentadbiran dan kafeteria.

“Kompleks sukan di daerah Jasin itu dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada awal tahun 2022 sekali gus bakal memenuhi kehendak masyarakat setempat, khususnya golongan belia untuk menikmati kemudahan beriadah dan bersukan dengan lebih selesa.

“Kerajaan negeri juga sentiasa memantau keadaan kemudahan sukan yang ada di negeri ini supaya semua fasiliti dapat diselenggara atau ditambah baik agar dapat dimanfaatkan semua masyarakat,” katanya pada sidang media selepas melawat projek naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu terdapat dua kompleks sukan lain yang sedang dinaik taraf iaitu Kompleks Rakan Muda Alor Gajah di Alor Gajah dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka di Ayer Keroh.

Tambah beliau, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka juga sedang menganjurkan kejohanan sukan elektronik (e-sukan) PUBG Mobile Melaka 2020 secara dalam talian selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini.

“Penganjuran e-sukan yang tidak memerlukan sebarang bayaran penyertaan itu bertujuan merancakkan pengisian aktiviti untuk golongan belia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut.

“Penyertaan peserta pada kejohanan ini amat memberangsangkan dengan 384 orang telah berdaftar untuk dua kategori iaitu solo dan skuad bagi merebut hadiah bernilai RM3,250.

“Orang ramai yang berminat menyertai kejohanan ini, mereka boleh melayari laman Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri Melaka sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan penganjuran e-sukan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang berminat untuk menjadi penaja program sukan berkenaan pada masa akan datang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.