Penyokong Bobi Wine merusuh, 16 terbunuh

62

20 NOV: Pertempuran antara pasukan keselamatan Uganda dan penyokong pemimpin pembangkang yang ditahan, Bobi Wine telah mengakibatkan 16 orang terbunuh dalam masa 48 jam.

Memetik laporan AFP, Ketua Polis Kampala, Moses Kafeero berkata, kira-kira 350 orang ditahan kerana menjarah, merosakkan harta benda, mengganggu lalu lintas, merompak dan mencuri ketika merusuh.

“Angka kematian terkini seramai 16 orang, 45 orang cedera termasuk parah,” jelasnya.

Ketegangan di bandar berkenaan tercetus menjelang pilihan raya presiden Uganda yang bakal berlangsung pada 14 Januari ini.

Pasukan keselamatan Uganda menembak gas pemedih mata dan peluru getah terhadap perusuh yang mencetuskan kebakaran, membina sekatan jalan dan menjarah kedai di bandar itu bagi meredakan ketegangan.

Bobi Wine atau nama sebenarnya Robert Kyagulanyi yang juga seorang bintang popular, adalah calon presiden yang ditahan pada Rabu lalu kerana didakwa melanggar peraturan mengawal penularan COVID-19 ketika berkempen kerana menghimpunkan ramai orang.

Bantahan tercetus kelmarin selepas polis mengumumkan tujuh orang maut susulan penahanan Wine.

Wine dilihat menjadi pencabar utama kepada Presiden Yoweri Museveni yang berhasrat mengekalkan kuasanya bagi penggal keenam.

Museveni, 76, adalah bekas pemimpin pemberontak yang merampas kuasa pda tahun 1986 dan menjadi antara pemimpin paling lama memerintah di negara benua Afrika.

Wine sering ditahan pihak berkuasa sejak akhir-akhir ini terutama selepas menyerahkan borang pencalonan presiden selain beberapa konsertnya turut dibatalkan manakala kempennya sering berakhir dengan tembakan gas pemedih mata pihak polis.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.