Pastikan bajet lulus, elak pemulihan ekonomi terjejas

52

20 NOV: Semua ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang perlu bertindak merentas batas parti politik demi kepentingan rakyat dengan memberi sokongan agar Belanjawan 2021 diluluskan.

Ia selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menegaskan mengenai kepentingan belanjawan itu kepada rakyat dalam menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata, peruntukan itu bukan saja penting diluluskan bagi menangani penularan dan jangkitan COVID-19, namun akan memulihkan ekonomi di samping memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin.

Dr Kartini Aboo Talib

“Saya berpandangan Belanjawan 2021 ini mesti diluluskan kerana ia adalah untuk kelangsungan hidup ekonomi rakyat dan negara.

“Bantuan yang disediakan adalah untuk memastikan negara boleh pulih daripada kesukaran hidup berdepan dengan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan kepada PN BBC Portal, hari ini.

Sementara itu, Kartini yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyifatkan Belanjawan 2021 bersifat inklusif yang membolehkan negara bergerak ke hadapan dan mementingkan kemahuan rakyat.

“Seperti mana titah Seri Paduka Baginda, belanjawan ini perlu disokong oleh semua Ahli Parlimen kerana matlamat akhirnya ialah negara mesti menang melawan COVID19 dan memerlukan pakej bantuan ini untuk meneruskan aktiviti ekonomi dan kehidupan.

“Saya merasakan ianya inklusif, jelas, dan berupaya untuk membantu rakyat. Pakej bantuan Prihatin, OKU, SME, Pelajar, B40 dan sebagainya adalah untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Justeru itu, beliau berpandangan bahawa jika ada Ahli-Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021, mereka boleh dianggap tidak prihatin dan tidak mengutamakan rakyat.

“Jika ianya tidak diluluskan, semua pekerja barisan hadapan dan penjawat awam seramai 1.6 juta tidak akan menerima gaji.

“Dan pakej rangsangan dan bantuan prihatin tidak dapat disampaikan kepada rakyat yang amat memerlukannya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.