Lima lagi kluster, Sabaru, Hentian tertinggi

234

20 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima lagi kluster COVID-19 hari ini sekali gus menjadikan kluster aktif yang sedang dipantau meningkat kepada 167.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 47 kluster melaporkan pertambahan kes positif dengan yang tertinggi Kluster Sabaru di Lahad Datu, Sabah melibatkan 149 kes.

Katanya, ini diikuti Kluster Hentian di Hulu Langat, Selangor membabitkan 107 kes dan Kluster Perigi, juga di Selangor dengan 50 kes.

“Ingin dimaklumkan bahawa sebanyak tiga kluster telah tamat iaitu Kluster Seri Setia, Kluster Bina, dan Kluster Bah Bundle. Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 157 kluster,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, lima kluster baru yang dikenal pasti hari ini masing-masing satu di Sabah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Katanya, kluster pertama ialah Kluster Kasir di Tawau dan kes indeks merupakan seorang pekerja pasar raya yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 November lalu.

Ujar beliau, sehingga 20 November, sejumlah 143 individu telah disaring, di mana 28 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Kluster kedua ialah Kluster Sri Jujur di daerah Klang, Sepang, dan Petaling, Selangor dengan kes indeks dikesan positif hasil saringan di tempat kerja pada 8 November lalu.

“Sehingga 20 November 2020, sejumlah 273 individu telah disaring, di mana 41 kes telah dikesan positif COVID-19. Kluster berkaitan tempat kerja ini melibatkan lima warganegara dan 36 bukan warganegara,” katanya.

Menurut Noor Hisham, kluster ketiga pula ialah Kluster Oad melibatkan daerah Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, dan Jempol di Negeri Sembilan serta daerah Hulu Langat di negeri Selangor.

Katanya, kes indeks dikesan COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 10 November lalu dan setakat tengah hari ini, 73 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Keempat ialah Kluster Enggor di daerah Kerian, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Kinta di negeri Perak. Kes indeks dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 13 November.

“Sehingga 20 November 2020, sejumlah 280 individu telah disaring, di mana 12 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Hospital Teluk Intan dan Hospital Taiping,” jelasnya.

Tambah beliau, kluster kelima yang dikenal pasti ialah Kluster Makmur di daerah Kulai dan Johor Bahru, Johor.

Katanya, kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 19 November 2020 dan 68 individu telah disaring, di mana enam kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.