Peguam Annuar serah notis tuntutan pada Kok Wai, Malaysiakini

2,693

20 NOV: Kira-kira 24 jam selepas memaklumkan akan menyaman Tan Kok Wai, peguam Tan Sri Annuar Musa sudah memulakan tindakan pertama dengan menyerahkan surat notis tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Cheras itu yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan.

Tindakan undang-undang itu diambil Annuar susulan dakwaan Kok Wai mengenai penjualan 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlaku dalam tempoh beliau menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan dakwaan Kok Wai itu satu fitnah dan tuduhan berat.

Turut menerima LOD daripada peguam Annuar berhubung isu penjualan tanah DBKL yang didakwa Kok Wai itu ialah portal Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya.

“Peguam Tetuan Sharul Hamdi dan Haziq seperti diarah telah menyerah notis siang tadi berbentuk Letter of Demand kepada Ahli Parlimen DAP, YB Tan Kok Wai, Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya bersabit fitnah penjualan tanah DBKL.

“Saya menghormati semua mereka berkenaan, namun memandangkan fitnah ini amat besar kesannya kepada saya, keluarga saya, KWP (Kementerian Wilayah Persekutuan), DBKL dan Kerajaan PN (Perikatan Nasional), saya tiada pilihan melainkan (ambil) tindakan undang undang,” katanya.

Annuar berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut memuat naik LOD yang diserahkan peguamnya kepada Kok Wai dan pihak terlibat tengah hari ini.

Berdasarkan tajuk surat berkenaan, Annuar menuntut artikel berkenaan ditarik balik, permohonan maaf dan juga ganti rugi fitnah daripada pihak terlibat berikutan penyiaran artikel tersebut.

Dalam sidang akhbar semalam di Parlimen, Annuar berkata, dakwaan Kok Wai mengenai penjualan 42 plot tanah DBKL dalam tempoh beliau menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan adalah satu fitnah dan tuduhan berat.

“Saya ingin tegaskan, sehingga saat ini, tiada satu pun permohonan daripada DBKL sampai kepada saya, untuk menjual aset atau tanah oleh DBKL.

“Cukup kecewa apabila persoalan sebegini sepatutnya boleh ditimbulkan dalam dewan dan boleh berikan jawapan atau pencerahan.

“Tetapi disebabkan ia diutarakan di luar Parlimen, maka ia tertakluk kepada undang-undang tertentu dan saya sudah arahkan peguam untuk ambil tindakan undang-undang mengikut jalur dan proses sedia ada,” katanya.

Kata Annuar, langkah sedemikian perlu kerana tuduhan kononnya DBKL terbabit dengan transaksi penjualan 42 plot tanah mencetuskan pelbagai kekeliruan dan kritikan dalam kalangan masyarakat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.