Kawasan Bebas Berniaga Kedah lanjut hingga setahun

51

20 NOV: Pelaksanaan program Kawasan Bebas Berniaga di Kedah dilanjutkan hingga setahun, lebih panjang daripada tempoh enam bulan yang dicadangkan sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri Kedah melakukan penambahbaikan itu bagi membantu rakyat di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

“Berikutan pelaksanaan ini, kerajaan negeri telah membuat penambahbaikan untuk membantu rakyat yang menghadapi kesukaran kewangan menceburi bidang perniagaan.

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD NOR

“Sebelum ini Kawasan Bebas Berniaga dicadangkan enam bulan bermula 15 November lalu hingga 15 Mei tahun depan dengan bayaran RM10 sebulan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri telah bersetuju supaya langkah ini dilaksanakan selama satu tahun bermula 15 November lalu hingga 15 November tahun depan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

Beliau memberitahu, pembayaran lesen atau permit sementara tidak akan dikenakan bayaran kepada semua pemohon mulai 1 Disember ini.

Muhammad Sanusi menambah, syarat permohonannya adalah sama seperti sebelum ini dan kelulusannya tertakluk dengan syarat ditetapkan oleh PBT.

“Antaranya tidak menghalang laluan dan lalu lintas, tidak meninggalkan peralatan di tempat berniaga, menjaga kebersihan, tiada mendatangkan kacau ganggu, memelihara keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Permohonan permit percuma boleh dilakukan di PBT berkaitan pada waktu pejabat hari bekerja,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.