Tingkat pinjaman tampung kelompongan pendapatan

77

19 NOV: Tidak menjadi kesalahan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) meminjam lebih banyak menerusi Belanjawan 2021 untuk menampung kelompongan disebabkan pendapatan negara berkurangan yang akan menyebabkan defisit tinggi bagi membantu semua pihak khususnya rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ahli Parlimen BN Rompin, Datuk Sri Hasan Arifin berkata ini kerana adalah tanggungjawab kerajaan hari ini untuk memulihkan kembali pertumbuhan ekonomi negara dan menentukan rakyat terjamin di samping tidak perlu terpengaruh dengan komen dan kenyataan dari agensi luar negara.

“Sebagai seorang konservatif, saya tiada halangan untuk kerajaan memperbesarkan lagi defisit walaupun ada kekangan perundangan tertentu tetapi dalam keadaan negara dilandar luar biasa, maka peraturan serta norma-norma lama harus ditinggalkan dan dipersembahkan satu bajet yang oleh untuk dalam keadaan tertentu defisitnya lebih besar.

“Apa salahnya enam, tujuh atau lapan peratus kerana kerajaan hari ini bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi dan menentukan rakyat dalam keadaan terbela dan kalau terpaksa meminjam kerajaan harus meminjam dan bila keadaan ekonomi pulih, kita boleh selesaikan masalah ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata kerajaan juga perlu melakukan kajian semula terhadap kadar kemiskinan di negara ini kerana di era COVID-19 ini dan jika meningkat, satu penyelesaian segera perlu dilaksanakan agar kadar kemiskinan ini dapat bertahan pada kadar lama.

“Unit Perancangan Ekonomi (EPU) harus membuat penilaian secara teliti iaitu rating atau kedudukan ekonomi dalam negara ini dikategorikan B40, M40 dan T20 sudah tidak sesuai lagi kerana B40 mungkin telah membengkak menjadi B50 dan M40 akan berkurang menjadi M30 yang harus dilihat secara serius dupaya dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), fakta ini harus lihat secara bersungguh-sungguh. Jangan kita tidak mengaku kelemahan dan kesilapan kita dalam data-data ini untuk kita menentukan RMK-12.

“Angka kemiskinan ini terus menjadi asas untuk rancang RMK-12. Lihat dalam laporan kemiskinan tegar pada tahun 2019 direkodkan 0.4 peratus. Saya percaya kadar ini telah tidak begitu sesuai lagi mungkin telah membesar 1 hingga 2 peratus kemiskinan tegar yang melanda dalam negara kita.

“Begitu juga kadar kemiskinan walaupun kerajaan telah menilai semula kadar kemiskinan daripada 980 pada tahun 2005 kepada 2208. Garis kemiskinan telah dinilai semula namun kemiskinan bandar, kemiskinan desa jauh bezanya. Kadar kemiskinan ini tidak lagi begitu sesuai degan keadaan ini dan angka-angka ini perlu dilihat semula oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Hasan mencadangkan agar Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan juga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) harus melakukan kerjasama bagi menentukan gerakan koperasi negara terus berkembang di samping memanin peranan meningkatkan lagi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pindaan Akta 502 hapuskan pelbagai sekatan dalam birokrasi harus dilihat semula. SKM dan IKM juga harus disatukan semula supaya dapat memainkan peranan lebih besar dan membina wajah baharu dalam kegiatan koperasi dalam negara ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.