Semak undang-undang bagi tangguh pilihan raya – ERC

18

19 NOV: Semakan menyeluruh harus dilaksanakan kerajaan berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan sebarang pilihan raya ditangguhkan semasa krisis termasuk ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, satu peruntukan khusus boleh dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan-tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara.

Menurut beliau, ERC kekal berpandangan bahawa ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah-kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.

Ab Rashid Ab Rahman
AB RASHID AB RAHMAN

“Mengambil kira lima asas yang dikaitkan dengan keputusan membatal dan menunda Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, ERC yakin masa dan ruang yang ada ini akan membolehkan SPR memperkemaskan segala mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan PRK semasa bencana termasuk di bahagian Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah kelak dapat diuruskan dengan efektif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rashid memberitahu, pihaknya menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengisytiharan proklamasi darurat, sekali gus membatal dan menunda PRK Parlimen Batu Sapi.

Menurut beliau, ERC menyokong keputusan itu dan berpandangan bahawa merupakan satu langkah tepat dan jelas sesuai dengan keadaan yang wujud ketika ini, sekali gus boleh membantu mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak COVID-19 di Sabah dan juga di seluruh negara.

“ERC berpandangan bahawa sementara kita harus menjunjung hak asasi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, terutama dari sudut pilihan raya demokrasi, kita juga perlu memberi keutamaan yang sama bagi menjaga kebajikan rakyat dan pengundi dan engambil segala tindakan yang perlu agar tidak memburukkan lagi krisis kesihatan dan mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa akibat pandemik,” jelasnya.

Selain itu, Ab Rashid berkata, ERC juga menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan PRK Parlimen Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan apabila pandemik COVID-19 berakhir.

“Ia membuktikan amalan pilihan raya demokrasi di negara ini akan terus terpelihara. Justeru, ERC yakin bahawa gelanggang pilihan raya yang adil akan disediakan apabila PRK membabitkan bahagian tersebut diadakan semula selepas COVID-19 berakhir,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.