PN Perak bincang calon PRK Parlimen Gerik

90

19 NOV: Perikatan Nasional (PN) Perak akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan calon sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman, Isnin lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan dibincangkan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dalam masa terdekat.

“Kami perlu mencapai konsensus sebelum membuat sebarang keputusan dan BERSATU akan sentiasa bekerjasama dengan UMNO dan PAS,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.

faizal azumu
AHMAD FAIZAL AZUMU

Hasbullah, yang juga Ahli Parlimen Gerik selama empat penggal, meninggal dunia kira-kira jam 7 malam Isnin lalu kerana serangan jantung.

Mengenai cadangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, supaya tiada pertandingan membabitkan parti politik dalam PRK Parlimen Gerik, Ahmad Faizal Azumu menyambut baik cadangan susulan peningkatan kes COVID-19.

“Ini cadangan yang boleh diterima dan cara terbaik adalah mengelak diadakan pilihan raya pada masa ini. Tempoh berkempen akan menyebabkan situasi COVID-19 menjadi lebih buruk daripada sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata sebaiknya Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi itu kerana ia kerusi tradisi parti berkenaan.

“Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk meneruskan PRK Parlimen Gerik, tidak ada salah jika calon BN mengekalkan kerusi itu dan menang tanpa bertanding.

“Hanya satu calon yang akan dinamakan dan saya yakin ia akan disokong PAS, BERSATU dan komponen lain dalam PN. Alangkah baiknya jika DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) tidak bertanding kerana situasi COVID-19 sekarang.

“Ketika ini, kita sudah mempunyai kerajaan dan dengan hanya satu kerusi, ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Saya percaya jika semua pihak terbuka, untuk menerima BN sebagai calon tunggal, tiada sebab jumlah kes COVID-19 akan meningkatkan kerana tiada masa berkempen dan aktiviti bertemu rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.