Penipuan SMS: Pegawai kanan jualan telco direman

76

19 NOV: Seorang lagi pegawai kanan jualan syarikat telekomunikasi direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 23 November selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membuat permohonan berkenaan.

Menurut sumber, suspek yang berusia 37 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada jam 7.30 malam tadi ketika hadir memberikan keterangan.

“Selain itu, seorang pegawai syarikat telekomunikasi dibebaskan dengan jaminan pada hari yang sama.

“Sehingga kini, SPRM sudah menahan 18 individu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan,” katanya.

Mereka yang ditahan setakat ini termasuk individu bergelar ‘Datuk’, disyaki memberi dan menerima rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

Nombor telefon yang diperoleh itu akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan (content provider) dengan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada sumber.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.