Naik taraf sekolah daif di Sarawak

83

19 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah daif di Sarawak untuk dinaik taraf menerusi Belanjawan 2021 bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Ahli Parlimen GPS Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, perkara ini harus segera dilakukan kerana terdapat sekolah khsususnya di kawasannya yang sudah terlalu uzur dan pelajar-pelajar sekolah amat terdedah kepada bahaya dan mengundang maut jika perkara ini dibiarkan berlarutan.

“Sekolah daif boleh beri kesan negatif psikologi kepada guru, murid, kakitangan sekolah mahupun ibu bapa. Terdapat sekolah-sekolah di Tanjung Manis yang memerlukan prasarana baharu dalam penambahbaikan yang sedia ada, bangunan-bangunan sekolah yang usang dan prasarana-prasarana lain yang tak baik boleh datang bahaya sekiranya digunakan.

YUSUF ABD WAHAB
YUSUF ABD WAHAB

“Sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop telah mengehadkan bilangan pelajar ke asrama yang menyebabkan pelajar terpaksa ulang alik dari rumah. Kekurangan bilik kelas juga dihadapi di mana makmal sains dijadikan bilik kelas dan juga bekalan elektrik masih guna set jana kuasa elektrik walhal sekolah ini hanya 200 meter dari gred bekalan elektrik.

“Banyak lagi sekolah lain. Saya mohon Kementerian Pendidikan untuk meletakkan permasalahan sekolah-sekolah daif sebagai keutamaan bagi memastikan prestasi akademik mereka tidak terjejas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Yusuf memberitahu kerajaan harus menyalurkan lebih banyak peruntukan dalam menyegerakan kemudahan komunikasi dan capaian internet di luar bandar khsususnya di Sarawak.

Menurut beliau, kerajaan negeri Sarawak telah melakukan pelabagai inisiatif dalam mempertingkatkan penyediaan komunikasi dan capaian internet di luar bandar namun sokongan daripada kerajaan persekutuan amat diperlukan bagi memastikan liputan menyeluruh dapat dicapai oleh rakyat khususnya untuk pelajar sekolah yang terkesan untuk mendapat pembelajaran yang dilaksanakan menerusi dalam talian.

“Capaian internet di kawasan Parlimen saya terutamanya di kawasan utara sememangnya ada tapi capaian sangat lemah dan sering terganggu di banyak tempat. Mohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia lebih banyak peruntukan yang disebut-sebiut dalam Belanjawan 2021.

“Ini demi membantu kerajaan negeri yang menyediakan rangkaian telekomunikasi dan internet 4G yang lebih mampan dan luas capaiannya di kawasan saya,” katanya.

Sementara itu, beliau mengharapkan agar pelajar-pelajar khususnya golongan B40 di luar bandar menerima komputer riba seperti mana yang diperuntukkan sebanyak RM150 juta menerusi Skim Cerdik. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.