Kerajaan diminta campur tangan penjualan aset THP

104

19 NOV: Kerajaan perlu segera campur tangan isu penjualan tanah milik TH Plantations Bhd (THP) di Sarawak kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).

Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata tindakan berkenaan perlu kerana difahamkan penjualan tanah berkenaan dibuat di bawah harga pasaran, terlalu murah dan merugikan THP.

Abdul Azeez berkata, beliau difahamkan biarpun kerajaan sudah bertukar tangan dari Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) sekarang namun difaham THP tetap akan meneruskan penjualan aset strategik terbabit.

Malah, Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan THP akan menjual tanah lebih luas daripada apa yang dicadangkan sebelum ini kepada Tamaco.

“Justeru, saya memohon kepada Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri; Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi, tolong masuk campur tangan serta menilai kembali perancangan penjualan lebih 76 peratus keluasan ladang milik THP terbabit.

“Hentikan penjualan aset berkenaan memandangkan harga minyak sawit kini berada pada harga tertinggi iaitu RM3,300 bagi setiap tan matrik.

“Jadi saya fikir baik kita simpanlah tanah milik THP memandangkan kita mahu melaksanakan dasar pandang ke Borneo, memperkasakan pembangunan Sabah dan Sarawak, apatah lagi dengan tindakan kerajaan Indonesia mahu memindahkan pusat pentadbirannya dari Jakarta ke Kalimantan.

“Ini sekali gus memberikan manfaat besar dari segi sudut ekonomi buat TH secara keseluruhanya,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez, berkata perkara sama berlaku ke atas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sebelum ini adalah pemegang saham terbesar syarikat pengeluar sarung tangan getah, Hartalega Holdings Berhad.

Bagaimanapun, Abdul Azeez berkata malang polisi penjualan aset diamalkan oleh kerajaan PH secara rakusnya menyebabkan KWSP terpaksa melepaskan sebahagian saham milik mereka dalam syarikat terbabit pada akhir Januari lalu.

“Hari ini nilai pasaran syarikat Hartalega adalah kira-kira RM60 bilion iaitu menjadinya syarikat keempat terbesar dalam Bursa Malaysia (BSKL).

“Bayangankan betapa besar kelompongkan kerugian negara akibat polisi merugikan dan kerakus kerajaan PH menjual aset-aset strategik milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum ini.

“Saya bimbang perkara ini akan berulang kembali di zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama milik utama orang Islam seperti. Malangnya polisi dibuat PH masih diteruskan oleh kerajaan PN kerana lantikan mereka masih kekal termasuklah dalam TH,” katanya.

Terdahulu, Abdul Azeez berkata Belanjawan 2021 yang membabitkan kos keseluruhan RM322.5 bilion adalah suatu bajet yang amat perlu disaat negara berhadapan dengan situasi luar biasa akibat pendemik Covid-19.

Beliau berkata negara sekarang terpaksa berhadapan dengan suatu keadaan amat sukar kerana bukan Malaysia sahaja, malah seluruh dunia tiada pengalaman langsung dalam menghadapi krisis pendemik Covid-19 ini.

“Dengan hasil yang mungkin mengucup dan perbelanjaan besar kita seharusnya meletakkan rating penarafan sebagai perkara kedua dengan meletakkan kebajikan dan kesihatan rakyat sebagai keutamaan.

“Justeru, saya berterima kasih dengan pihak kerajaan kerana mengadakan perbincangan dengan pengurus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mengubah keputusan awal berkaitan pengeluaran wang caruman dari Akaun 1 seperti diumumkan dengan kaedah-kaedah baru.

“Bagaimanapun saya berharap kerajaan akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa mengikut tuntutan dan keperluan pencarum. Tolong jangan abaikan hal ini kerana ia amat penting kepada 14.7 juta rakyat kita sayangi,” katanya dalam ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Berikutan itu Abdul Azeez mencadangkan KWSP diberikan projek mega kerajaan yang strategik dalam dan luar negara. Ini kerana KWSP adalah satu-satunya institusi tertua di dunia yang dilahirkan lebih 69 tahun lalu dengan modal berbayar RM15 juta.

“Kini KWSP dinilai dengan nilai dengan hampir RM938 bilion. Ini jelas membuktikan KWSP berjaya melaksanakan tanggungjawab luar biasa dalam hal ehwal ekonomi, perniagaan di dalam dan luar negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.