Kempen Sawit Anugerah Tuhan tingkat kesedaran

275

19 NOV: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen Sawit Anugerah Tuhan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa hari ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kempen itu bertujuan menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.

Menurut beliau, KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.

“Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.

“Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform,” katanya dalam kenyataan media sempena prapelancaran kempen tersebut di bangunan Parlimen, hari ini.

Mohd Khairuddin menambah, pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan.

Beliau memberitahu, penggunaan media baharu dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Sawit

“Sawit merupakan anugerah Tuhan yang cukup istimewa dengan pelbagai kelebihan. Ia dizahirkan melalui pengenalan Logo Rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang berasaskan konsep kehebatan dan kemampanan sawit melalui kombinasi empat warna menarik.

“Warna merah melambangkan pelbagai khasiat minyak sawit kepada kesihatan, melalui sumber kandungan beta-karotena dan vitamin E tokotrienol yang tinggi,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, warna tersebut juga menandakan kelebihan penggunaan minyak sawit Malaysia dalam pelbagai produk makanan dan bukan makanan.

Beliau menambah, daun sawit yang menghijau pula melambangkan kelestarian alam sekitar dan lingkaran kuning keemasan di sekeliling logo menggambarkan pengeluaran minyak sawit mampan.

Katanya, buah sawit pula melambangkan keuntungan berterusan dan berkekalan yang amat bernilai bukan sahaja kepada negara, bahkan kepada seluruh dunia.

“Moto ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dalam warna putih melambangkan kesucian produk sawit Malaysia yang jelas dari aspek halalan-thoyyiban.

“Paparan dalam tipografi moden menggambarkan hala tuju industri minyak sawit negara yang sentiasa dinamik, bertujuan menarik minat golongan muda untuk menghargai dan terlibat dalam bidang komoditi ini,” ujarnya.

Sempena prapelancaran kempen tersebut, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada semua Ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen ini dengan usaha memerangi pandemik wabak COVID-19 selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma baharu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.