Enam inisiatif tambah baik antirasuah, integriti

75

19 NOV: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 13 Bilangan 3 Tahun 2020 yang dipengerusikan Perdana Menteri, hari ini, membuat enam keputusan penting.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, enam keputusan berkenaan termasuk persetujuan secara prinsip bagi syor Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melaksanakan Program Authorized Economic Operator (AEO) di peringkat nasional.

Muhyiddin berkata, JKKMAR juga bersetuju perbincangan diadakan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM) dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (LSEAIC) dijadikan sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib.

“JKKMAR juga secara prinsip bersetuju supaya Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bersama Menteri Kanan, KSN, Jabatan Peguam Negara dan SPRM untuk memperhalusi garis panduan pengeluaran surat sokongan oleh anggota pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata JKKMAR juga bersetuju dengan dua syor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menambah baik tatacara dan kaedah penilaian tender melalui peningkatan integriti maklumat dalam memastikan keberkesanan penilaian tender.

“Dua syor berkenaan ialah mengadakan usahasama antara JKR dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menggunakan maklumat dalam pangkalan data agensi bagi tujuan penilaian tender serta menguatkuasakan syarat bon tender bagi tender tertentu kerajaan.

“JKKMAR secara prinsip bersetuju supaya kajian komprehensif berkaitan Pengwujudan Peruntukan Undang-Undang Baharu berkenaan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan secara bersama oleh Jabatan Peguam Negara dan SPRM berkaitan peruntukan Liabiliti Korporat bagi melihat mekanisme dan penanda aras bagi suatu organisasi komersial dituduh di bawah Seksyen 17A (4) Akta SPRM 2009,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.