Dakwaan ada MP PN tak sokong hanyalah syak wasangka

267

19 NOV: Dakwaan mengatakan segelintir ahli Parlimen kerajaan tidak akan menyokong Belanjawan 2021 dengan kecurigaan terhadap beberapa pemimpin veteran dalam gabungan itu hanyalah satu syak wasangka pembangkang.

Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini kerana semuanya sudah bersama Perikatan Nasional (PN) dan mereka akan tetap bersama barisan PN.

“Maka bajet ini tak lulus, kerajaan tumbang. Ini adalah satu syak wasangka dan kita mengaitkan orang-orang yang merupakan ahli politik veteran yang ada sebelum kita lahir lagi.

“Sebelum Lembah Pantai (Fahmi Fadzil) lahir mereka dah masuk politik, (MP) Pekan (Datuk Ser Najib Razak) masuk politik, (MP) Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), (MP) Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah), masuk politik lebih awal lagi

“Tapi kita bersyak wasangka kononnya begini, sekali mereka menyertai Barisan (Nasional) mereka tetap Barisan, sekali Barisan bersama PN, kita tetap bersama PN,” katanya sewaktu perbahasan Belanjawan 2021 hari ini.

Jelas Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC), semua ahli parlimen PN dan BN akan mengundi secara ‘en bloc’ untuk Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 26 November ini.

“Kita ada 112 kerusi, saya ucap takziah (MP) Gerik (Allahyarham Datuk Hasbullah Osman), satu kerusi.

“Pembangkang pun kurang, (MP) Batu Sapi (mendiang Datuk Liew Vui Keong), dalam masa yang sama kita tahu bahawa Bebas dan juga parti (MP) Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) masih belum buat keputusan,” katanya.

Shahidan berkata, beliau menyatakan dukungan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan mengundi menyokong Belanjawan 2021.

Katanya, jika pembangkang tidak mahu menyokong bajet maka mereka tidak perlu datang ke Parlimen pada hari pengundian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.