COVID-19: Naik balik, lebih 1,000 di Sabah dan Selangor

694

19 NOV: Selepas mencatatkan 660 penularan baru COVID-19 semalam, kes harian virus itu bagi hari ini bagaimanapun melonjak hampir 100 peratus kepada 1,290 kes di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua negeri yang mencatatkan kes yang tertinggi pada hari ini adalah Sabah dengan 660 kes dan Selangor, 407 kes.

Menurut beliau, pelaporan kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara dengan 250 kes.

“Peningkatan kes di Selangor pula berpunca daripada Kluster Teratai (245 kes) dan sebuah kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes).

“Kedua-dua kluster tersebut adalah kluster berkaitan tempat kerja yang melibatkan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah Noor Hisham, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 51,680 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 13,222 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,285 kes pula adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

“Sehingga kini, terdapat 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 326 kes.

“Dua daripadanya dilaporkan di Sabah iaitu di Hospital Lahad Datu dan Hospital Sandakan manakala masing-masing satu kes dicatat di Hospital Ipoh dan Hospital Kuang.

“Pesakit termuda melibatkan seorang lelaki warganegara di Sandakan berusia 29 tahun, beliau mempunyai sejarah penyakit buah pinggang kronik,” jelasnya.

Sementara itu, turut melaporkan kes hari ini ialah Kuala Lumpur dengan 72 kes diikuti Perak (48), Negeri Sembilan (32), Kelantan (17), Labuan (15), Johor (15), Pulau Pinang (8), Sarawak (8), Kedah (7) dan Melaka (1).

“Pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 878 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 38,132 kes,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.