Cari jalan terbaik tunaikan hak rakyat Batu Sapi

23

19 NOV: Parti Warisan Sabah (Warisan) berharap kerajaan Persekutuan dapat mencari jalan terbaik agar hak rakyat di Batu Sapi memilih wakil rakyat dapat ditunaikan selepas tempoh pelaksanaan darurat berakhir kelak.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap kawasan Parlimen Batu Sapi, adalah tanda prihatin baginda terhadap rakyat Sabah.

“Warisan percaya Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan titah berkenaan atas keprihatinan baginda terhadap kesihatan rakyat Sabah, khususnya di Batu Sapi yang kini salah satu kawasan merah akibat pandemik COVID-19.

Shafie Apdal
MOHD SHAFIE APDAL

“Seri Paduka telah menggunakan kebijaksanaan dalam pengisytiharan darurat itu yang sekali gus menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember ini.

“Dalam melaksanakan proses demokrasi, kesihatan rakyat tidak boleh dijadikan pertaruhan sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam situasi negara ketika ini yang masih berjuang menentang penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mohd Shafie turut berkata berharap kerajaan dapat mencari jalan bagi memastikan satu tarikh tertentu dapat ditetapkan untuk memaklumkan rakyat Batu Sapi tempoh darurat akan berakhir.

“Warisan berpendapat setiap rakyat di Batu Sapi perlu mempunyai pemimpin yang mewakili mereka dan membawa isu rakyat di Parlimen.

“Kita berharap hak rakyat Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat ditunaikan sebaik sahaja jangkitan COVID-19 dapat dikawal dan selepas kerajaan menarik balik pelaksanaan darurat.

“Selain itu, kita juga turut berharap agar dalam tempoh darurat ini, kerajaan memberi jaminan agar kebajikan setiap rakyat di Batu Sapi terutama bantuan makanan dan keperluan harian sentiasa diutamakan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.