Vaksin COVID-19: Malaysia-China meterai perjanjian

376

18 NOV: Malaysia dan China hari ini memeterai perjanjian membabitkan usaha membangunkan vaksin COVID-19 yang selamat serta berkesan.

Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, dalam satu kenyataan bersama berkata, perjanjian berkenaan memfokus kepada kerjasama erat antara kedua-dua negara, bagi memerangi secara agresif pandemik COVID-19.

Pada majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung secara maya itu Malaysia diwakili oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin manakala China diwakili rakan sejawatnya, Wang Zhigang.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan dikawal selia oleh Jawatankuasa Peringkat Tertinggi dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari China He Wang Yi bagi menggalakkan kerjasama pragmatik dan pendekatan yang lebih berkesan bagi mengharungi cabaran pasca Covid-19.

“Ketika perbincangan mengenai perjanjian dua hala berkenaan, Khairy dan Wang Zhigang bersetuju untuk meningkatkan kerjasama menangani pandemik Covid-19 menerusi kaedah diplomasi sains.

“Perjanjian berkenaan juga membolehkan Malaysia diberikan keutamaan untuk mengakses vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan oleh China, selain perkongsian teknologi dan kepakaran serta kemudahan membangunkan vaksin dimiliki oleh kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara juga menyokong penyertaan sektor awam dan swasta termasuk universiti, institusi, sainstis dan organisasi dalam kerjasama untuk melaksanakan sesuatu projek,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan China juga bersetuju bahawa kedua-dua negara juga akan menyokong dan mendorong syarikat mereka untuk menjalin kerjasama erat dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan bekalan ubat-ubatan.

“Perjanjian ini akan terus berkuat kuasa untuk tempoh awal lima (5) tahun dan akan dilanjutkan secara automatik untuk jangka masa yang lebih jauh satu (1) tahun setiap satu, selepas dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.