Tak perlu akta baharu tangani hina agama

147

18 NOV: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk melaksanakan undang-undang baharu terhadap individu yang menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama demi kepentingan-kepentingan tertentu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata ini, akta dan undang-undang sedia ada sudah merangkumi serta mencukupi bagi mereka yang cuba mewujudkan sebarang isu khususnya berkaitan agama dan kaum.

Menurut beliau, bagi individu yang sengaja atau cubaan menghina dan memainkan isu perkauman dan agama , mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah tiga akta berbeza yang dilihat lebih berkesan dan mampu memberi pengajaran kepada mereka yang melakukannya.

ISMAIL MOHAMED SAID
ISMAIL MOHAMED SAID

“KDN akan sentiasa bertindak tegas melalui polis bagi melakukan tangkapan dan dakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan menghina, mempersendakan atau memainkan isu-isu agama berdasarkan peruntukan undang-undang sedia seperti Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ketika ini KDN berpandangan undang-undang sedia ada adalah mencukupi bagi menyedarkan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan-kesalahan seperti ini. Walau bagaimanapun KDN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji perundangan tersebut untuk ditambah baik,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda sebarang akta atau peraturan sedia ada kepada hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama demi untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

RAMLI MOHD NOR

Ismail memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa melakukan pemantauan penyebaran maklumat dan akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat elemen melibatkan sensitiviti kaum dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keharmonian rakyat jika tidak dibendung. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.