Selepas seminggu, LRA Rantau Panjang dihenti tugas lagi

125

18 NOV: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau seakan pelarut yang dikesan di muka sauk LRA itu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenai pencemaran itu.

Menurutnya, pencemaran dikesan pada 7 malam tadi dan henti tugas LRA berkenaan dilakukan pada 7.10 malam.

“Bau dikesan pada bacaan 1 TON di muka sauk LRA terbabit.

“LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan pihak berkaitan sedang menjalankan siasatan serta tindakan mitigasi,” katanya hari ini.

Menurutnya, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam insiden 10 November lalu, LRA Rantau Panjang dihenti tugas disebabkan pencemaran bau yang menjejaskan lebih sejuta akaun pengguna.

Ia merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.