Segera bantu pengusaha kantin, bas sekolah terjejas

61

18 NOV: Pengusaha kantin sekolah serta bas sekolah yang berdepan tindakan termasuk diisytihar muflis kerana tidak mampu membayar pinjaman selepas terjejas berikutan pandemik COVID-19 perlu dibantu segera.

Ahli Parlimen PAS Kemaman, Che Alias Hamid berkata penularan wabak ditambah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memburukkan lagi keadaan pengusaha berkenaan.

“Pelaksanaan PKP semula November dan Disember ini beri impak kepada ekonomi negara bahkan rakyat apatah lagi dengan penutupan sekolah, pengusaha kantin dan bas sekolah terkesan. Harap khsususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ambil perhatian terhadap keluhan pengusaha kantin dan bas sekolah ini.

“Peruntukan keseluruhan RM50.4 bilion perlu dioptimumkan bagi memastikan semua pihak tidak ketinggalan dalam menerima bantuan dan peruntukan yang sepatutnya ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

CHE ALIAS HAMID

Che Alias menyambut baik perancangan KPM melaksanakan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) setiap hari bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan namun mengharapkan agar kos bagi seorang pelajar dapat ditingkatkan dengan mengambil kira peningkatan kos bahan mentah ketika ini.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar Kementerian Kewangan melakukan kajian teliti dalam memperkenalkan cukai baharu yang sebelum ini orang ramai bergantung kepada cukai hasil langsung.

“Tapi cukai ini mestilah memenuhi prinsip dan asas-asas yang tidak mengambil harta orang miskin dan mengambil lebihan kekayaan dari individu atau syarikat konglomerat yang tidak terusik serta dengan kadar yang bersesuaian.

“Pengenalan cukai prinsip ini perlu bagi memastikan kekayaan itu dapat disuntik kembali kepada ekonomi negara di samping dapat menambah hasil kepada kerajaan itu sendiri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.