RMK-12: Kerajaan minta rakyat salur pandangan

22

18 NOV: Orang ramai dipelawa untuk terus menyalurkan cadangan dan pandangan bagi membantu kerajaan menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebelum dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, RMK-12 yang bakal dilaksanakan mulai tahun depan hingga 2025 sedang dalam proses akhir penyediaannya.

Menurut beliau, laman sesawang khas RMK-12 (http://rmke12.epu.gov.my/engagement) telah diwujudkan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat mengemukakan cadangan dan pendapat mengenai hala tuju pembangunan negara.

mustapa mohamed
MUSTAPA MOHAMED

“Cadangan yang dikemukakan akan dipertimbang dan diperincikan sebagai input dalam penyediaan RMK-12,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustapa menambah, sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat juga boleh berkongsi cadangan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dengan menggunakan tanda pagar #RMKe12 mulai hari ini hingga 2 Disember 2020.

Beliau memberitahu, pandangan boleh menumpukan dalam beberapa bidang iaitu langkah memulihkan semula ekonomi, menangani isu kemiskinan, pembangunan modal insan mahir, penerimagunaan teknologi dan pendigitan, penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital, kelestarian alam sekitar, pembangunan Sabah dan Sarawak serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata, sesi libat urus pertama telah dijalankan pada 5 November 2019 sehingga 31 Disember 2019 di mana Unit Perancang Ekonomi telah menerima 188 maklum balas dalam talian yang terdiri daripada 42 dari organisasi kerajaan, 30 dari organisasi swasta, 50 dari NGO, 14 pelajar dan 52 lain-lain organisasi.

“Maklum balas yang diterima merangkumi empat dimensi iaitu 63 Dimensi Ekonomi, 44 Dimensi Sosial, 51 Dimensi Alam Sekitar dan 30 Dimensi Alat Dasar & Tadbir Urus,” jelasnya.

Menurut beliau, menyedari bahawa negara sedang berada dalam situasi yang sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19, kerajaan amat prihatin dan berusaha memastikan RMK-12 yang sedang dalam peringkat akhir penyediaan, digubal untuk membolehkan ekonomi negara kembali pulih serta berdaya saing.

Kata Mustapa, memandangkan kemakmuran rakyat adalah keutamaan kerajaan, langkah yang sewajarnya akan diambil untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara di samping memastikan kesejahteraan dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat.

“Asas penyediaan RMK-12 adalah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan untuk mewujudkan pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.