PRK, PRN atau PRU, jika boleh elak dulu

506

18 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak dari awal melahirkan kebimbangan terhadap risiko penularan pandemik COVID-19 jika pilihan raya diadakan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan peningkatan kes selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada akhir September lalu.

“Memang KKM dari awal lagi, amat bimbang sekiranya ada pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK), PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU).

“Syor KKM dari dulu lagi, jika boleh, elakkan pilihan raya. Inilah pendapat KKM.

“Kalau boleh amat penting untuk mengelakkan PRK (diadakan) supaya kita dapat mencegah penularan COVID-19 dalam negara,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak PRK sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan, berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menasihati baginda berkenaan cadangan itu.

Sementara itu, kata Noor Hisham, KKM menubuhkan Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 di Wilayah Tengah bagi membantu melancarkan tadbir urus dan pengoperasian semua hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, dengan adanya pusat kawalan bersepadu itu, ia secara tidak langsung dapat membantu melancarkan pengurusan wabak COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Pusat kawalan ini akan diketuai Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan akan dibantu Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Sungai Buloh, Dr Sarah Shaikh Abdul Karim sebagai timbalannya,” jelasnya.

Mengenai kesiapsiagaan COVID-19 di Lembah Klang, Noor Hisham berkata, pihaknya sudah meningkatkan jumlah katil sebanyak 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil ke 4,739 katil di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Di Hospital Sungai Buloh, jumlah katil sudah ditingkatkan kepada 630 katil diikuti di Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu 831 katil. Pihak kementerian turut menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada hospital hibrid COVID-19 dengan 230 katil.

“Kita turut membuka semula lapan blok Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sg Buloh sebagai PKRC dengan kapasiti 2,400 katil dan meneruskan penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai PKRC yang memuatkan 648 katil,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.