Penipuan SMS: Lagi pegawai kanan telco direman

65

18 NOV: Bekas ketua perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi, ditahan reman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Perintah reman sehingga 22 November itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan, pagi ini.

Penahanan wanita itu menjadikan seramai 17 suspek kini ditahan bagi membantu kes sindiket penipuan SMS itu, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 11 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

Sementara itu, tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang pegawai syarikat telekomunikasi yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan.

Difahamkan, mereka dipercayai memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan ‘content provider’ dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.

Semalam dua individu masing-masing pengarah syarikat swasta dan bekas ketua pegawai pemasaran di syarikat telekomunikasi direman selama lima hari sehingga 21 November bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket SMS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.