Naik taraf jalan luar bandar Sarawak

167

18 NOV: Projek menaik taraf jalan raya di kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen GPS Baram, Anyi Ngau berkata, ketika ini, penduduk di kawasan tersebut terpaksa bergantung kepada jalan balak sebagai laluan utama.

Sehubungan itu, beliau memohon sebahagian daripada peruntukan RM7.2 bilion di bawah Jabatan Perdana Menteri atau RM6.6 bilion di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar disalurkan untuk projek jalan luar bandar di Sarawak.

ANYI NGAU
ANYI NGAU

“Saya di Baram mohon jalan dari Pekan Lapok ke Long Banyok yang jarak dia hanya 59 kilometer sahaja perlu dinaik taraf sebab ini merupakan jalan utama bagi kita di kawasan itu. Di samping itu Barisan Nasional (BN) dahulu disebutkan naik taraf jalan balak fasa 4 dan disebut di dalam dewan mulia ini namun sampai hari ini jadi COVID-19, jalan balak yang naik taraf ini belum lagi pasti.

“Namun saya percaya dengan peruntukan ini Belanjawan 2021 ini kedua-dua jalan ini termasuk jalan-jalan di luar bandar diutamakan sebab kesan COVID-19 ini banyak ajarkan kita betapa pentingnya kemudahan-kemudahan asas ini kepada rakyat khususnya mereka di luar bandar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Anyi berharap agar permasalahan talian internet di kawasan pedalaman harus segera diselesaikan bagi memberi kemudahan ini kepada rakyat khususnya pelajar-pelajar yang kini kebanyakan mengikuti kelas dalam talian.

“Masalah ini masih melarat sejak dari dulu. Pihak kementerian ada mengatakan dalam dewan mulia ini ada pertimbangan dan perancangan namun perancangan kalau tidak dilaksanakan tidak akan mendatangkan faedah kepada kita semua.

“Jadi, saya mohon supaya jaringan internet di kawasan pendalaman khsusunya ketika COVID-19 ini maka kita mahu anak-anak, cucu-cucu kita yang terlibat dalam visual online ini dapat menikmatinya. Mohon perkara-perkara ini dipertimbangkan dan diluluskan sahajalah dalam Belanjawan 2021 yang akan datang ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.