Malaysia kekal keputusan tak sertai Statut Rom

141

18 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan keputusan terdahulu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, Malaysia menyertai Statut Rom pada 4 Mac 2019, sebelum kerajaan PH memutuskan untuk menarik balik penyertaan negara kita, pada 5 April 2019.

Menurut beliau, Kementerian Luar mengemukakan surat penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku pemegang depositori bagi triti pada 29 April 2019.

KAMARUDIN JAFFAR
KAMARUDIN JAFFAR

“Pada 15 Mei 2019, PBB menghantar surat sebagai pengesahan balik penyertaan Malaysia dari Statut Rom berkuat kuasa mulai 29 April 2019 iaitu tarikh surat penarikan dihantar oleh Wisma Putra.

“Berikutan itu Malaysia dikeluarkan secara rasmi daripada senarai negara pihak yang menandatangani Statut Rom. Sehingga hari ini Malaysia masih mengekalkan keputusan dibuat oleh kerajaan PH untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang meminta Menteri Luar menyatakan kedudukan kerajaan terhadap isu Statut Rom dan kebarangkalian negara akan bersetuju menganggotai ICC dalam masa yang terdekat.

Pada 6 April tahun lalu, Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi raja menentang kerajaan.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata kerajaan PN tidak berhasrat untuk menyertai ICC selaras dengan ‘suara majoriti’ rakyat.

“Kita akan memastikan tindakan kita berpandukan kepada apa yang majoriti rakyat Malaysia hendak,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.