Lapan kluster baru, tiga di Sabah

187

18 NOV: Sebanyak 38 kluster aktif dan lapan kluster baru melaporkan kes baru COVID-19 hari ini dengan tertinggi di PTS Tawau melibatkan pertambahan 135 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lapan kluster baru yang dilaporkan, tiga daripadanya di Sabah serta masing-masing satu kluster di sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

Menurut beliau, kluster pertama di Sabah dikesan di Lahad Datu yang dinamakan sebagai Kluster Sabaru dan kini sudah menjangkiti 88 individu termasuk 70 kes baharu hari ini.

Bagi kluster kedua, dikesan di Ranau yang dikenali sebagai Kluster Tomher dan sehingga kini sudah menjangkiti 20 individu dan kluster ketiga pula adalah di Tawau iaitu Kluster Garden yang sudah menjangkiti 11 individu.

“Kluster keempat ia dikesan di Putrajaya, Petaling dan Sepang yang dikenali sebagai Kluster Putra-18 dan sudah menjangkiti tujuh individu termasuk tiga kes baharu hari ini.

“Kluster kelima pula dikesan di daerah Cheras, Kepong dan Petaling yang dikenali sebagai Kluster Murni. Kluster ini sudah menjangkiti tujuh individu termasuk lima kes hari ini,” katanya dalam sidang media COVID-19, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kluster keenam dikenali sebagai Kluster Pasir yang dikesan di daerah Timur Laut di Pulau Pinang yang kini sudah menjangkiti 11 individu.

“Kluster seterusnya dikenali sebagai Kluster Besi Demak yang dikesan di Kuching, Sarawak yang kini sudah menjangkiti lima individu dan kluster terakhir dikenali sebagai Kluster Parit Kassan dan ia dikesan di Tangkak, Johor dan Melaka Tengah di Melaka.

“Kluster ini sudah menjangkiti 11 individu termasuk kes baharu hari ini,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Kluster Tapak Bina Damanlela yang mencatatkan kes harian yang tinggi sejak beberapa hari lalu melaporkan pertambahan lapan kes hari ini.

Katanya, ini menjadikan kes keseluruhan COVID-19 melibatkan kluster di Lembah Klang itu berjumlah 1,346 kes.

“Kluster Hentian di Hulu Langat, Selangor juga terus melaporkan kes baru dengan 18 penularan manakala Cergas di Negeri Sembilan mengenal pasti 15 lagi kes,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.