Kabinet ambil kira kesan COVID-19 jika PRK diadakan – PM

218

18 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan kebimbangan kesan penularan COVID-19 adalah sebab utama Jemaah Menteri memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

Muhyiddin menjelaskan, Jemaah Menteri menasihatkan Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan darurat dan memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Beliau berkata, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 13 November lalu telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Batu Sapi jika diadakan pada masa pandemik COVID-19 masih menular di negeri Sabah.

Katanya, Jemaah Menteri mengambil kira kesan penularan COVID-19 di negeri Sabah susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.

“Data menunjukkan pada 12 September 2020, iaitu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, kes kumulatif COVID-19 di Sabah berjumlah 808 kes. Pada 26 September, iaitu pada hari mengundi, kes kumulatif COVID-19 di Sabah telah meningkat kepada 1,547 kes, iaitu peningkatan sebanyak 91.5 peratus.

“Situasi penularan COVID-19 di Sabah menjadi lebih buruk apabila peningkatan berlaku secara mendadak dalam tempoh 4 minggu selepas
hari mengundi. Pada 24 Oktober 2020, Sabah mencatatkan 11,285 kes kumulatif dan menjadi negeri pertama di Malaysia yang merekodkan
jumlah kes COVID-19 melebihi 10,000 kes.

“Hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes kumulatif COVID-19 yang tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 24,269 kes dengan 181 kematian,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan siaran langsung menerusi stesen televisyen dan Facebook sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan PRN Sabah, Jemaah Menteri berpandangan lebih elok
sekiranya PRK Parlimen Batu Sapi, Sabah dapat dielakkan atas beberapa faktor.

Beliau berkata pertamanya ialah faktor ancaman terhadap kesihatan awam berdasarkan pengalaman PRN Sabah yang diadakan ketika COVID-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak berkenaan di dalam komuniti sekarang.

Katanya, walaupun SOP yang ketat boleh ditetapkan oleh SPR, namun tahap pematuhannya didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak ini sukar dibendung.

“Kedua, pihak SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan COVID-19 ketika bertugas.

“Risiko jangkitan dalam kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan para pengundi yang berkemungkinan terdedah kepada wabak COVID-19.

“Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 November 2020, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya, iaitu 17.1 peratus sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi,” katanya.

Muhyiddin berkata faktor ketiga, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah.

“Sebagai contoh, pegawai-pegawai SPR yang berkhidmat di Kota Kinabalu akan bergerak ke Sandakan untuk membantu melaksanakan
PRK Batu Sapi. Perjalanan mereka sejauh 370 kilometer akan melalui beberapa daerah seperti Tuaran, Ranau, Telupid dan Beluran. Daerah-daerah ini adalah daerah yang dikategorikan sebagai kawasan merah atau kuning,” katanya.

Beliau berkata pergerakan pegawai SPR, para pengundi berdaftar di Bahagian PRK Parlimen Batu Sapi yang tinggal di daerah lain juga akan melakukan perjalanan merentas daerah bagi tujuan mengundi.

“Walaupun kerajaan pada masa ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang tidak membenarkan perjalanan rentas daerah, pergerakan pengundi rentas daerah tidak boleh dihalang kerana hak mereka untuk mengundi adalah dijamin oleh
Perlembagaan Persekutuan.  Ini juga akan meningkatkan risiko penularan COVID-19.

“Keempat ialah kebimbangan mengenai risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang
merupakan golongan berisiko tinggi. Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

“Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan COVID-19 yang boleh membawa maut.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, yang keutamaannya ialah untuk melindungi nyawa setiap rakyat, situasi
seperti ini mestilah dielakkan,” katanya.,

Muhyiddin berkata faktor kelima ialah kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Daerah Sandakan sekiranya penularanCOVID-19 berlaku secara mendadak selepas PRK diadakan.

“Kita tidak mahu berlaku lonjakan kes-kes baharu COVID-19 di Batu Sapi khususnya, dan di Sabah amnya sekiranya pandemik ini
menular selepas PRK Batu Sapi diadakan.

“Ini tentu sekali akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh para frontliners kita, yang sebahagian besarnya agak keletihan setelah sekian lama berhempas-pulas membendung wabak ini,” katanya.

Beliau berkata Jemaah Menteri telah mendapatkan pandangan Peguam Negara mengenai kaedah terbaik dari segi perundangan dan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan pilihan raya kecil ini dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Beliau berkata ini kerana menurut Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, sekiranya terdapat kekosongan luar jangka sesuatu kerusi Parlimen, kekosongan luar jangka terbabit hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR telah memastikan kekosongan tersebut berlaku.

“Oleh itu PRK mesti diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah, melainkan kekosongan tersebut berlaku dalam masa
dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar setelah berjalan selama 5 tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.

“Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa tidak ada cara lain untuk membatalkan PRK Batu Sapi melainkan dengan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.