JASA bukan tentera siber kerajaan

104

18 NOV: Ahli Parlimen GPS Sibuti, Lukanisman Awang Sauni menyatakan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bukanlah tentera siber seperti yang dicanangkan oleh Pakatan Harapan (PH), malah turut membantu kerajaan dalam usaha merapatkan perpaduan dengan menyediakan maklumat tepat serta sahih kepada masyarakat.

Malah, sebagai seorang bekas pegawai JASA, Lukanisman memberitahu, JASA turut bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik serta bersasar mengikut keperluan segmen masyarakat di samping menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.

“Memang saya terkesan dengan komen-komen dari rakan-rakan tentang JASA memandangkan JASA tidaklah merupakan tentera siber. Saya tidak akan jadi Ahli Parlimen sekiranya saya bekerja menjadi tentera siber ketika dalam JASA. JASA pernah pergi membina sebuah padang futsal kerana kita melihat masyarakat memerlukan perkara tersebut.

“JASA pernah dan saya sendiri pernah mengelilingi dari Kangar dan sehingga ke Sabah untuk melihat dan mendengar dan maklumat-maklumat ini disampaikan kepada kerajaan dan juga jasa pernah mempunyai satu pasukan yang menyamai INVOKE walaupun setelah berlakunya pertukaran ketua pengarah berkenaan analisis politik berkurangan siber,” katanya

LUKANISMAN AWANG SAUNI
LUKANISMAN AWANG SAUNI

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar lantikan Ketua Pengarah JASA yang baharu nanti, jika dilaksanakan, haruslah terdiri daripada Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan bukanlah lantikan politik dan pihak-pihak yang berkepentingan dengan kerajaan.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata, pemansuhan JASA oleh kerajaan PH adalah disebabkan perasaan kurang senang terhadap pentadbiran Ketua Pengarah terdahulu dan menyebabkan ramai bekas pegawai JASA menghadapi kehidupan yang sukar khususnya ketika pandemik COVID-19.

“Ada yang menjadi pembancuh simen, ada yang saya berjumpa rakan-rakan saya di Parlimen bekerja menjadi tukang bancuh minuman sedangkan mereka mempunyai ijazah untuk bekerja.

“Terdapat pegawai-pegawai JASA yang menghampiri tugas hampir 15 tahun telah diberhentikan sedangkan mereka beberapa minggu lagi untuk mendapatkan pekerjaan tetap dalam sektor kerajaan dan saya turut berharap agar JASA ini dipertimbangkan jumlah dana diperuntukan dalam Belanajwan 2021 ini yang dapat diguna pakai untuk membantu rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.