Jangan biar ada usaha bunuh tulisan Jawi

140

18 NOV: Ahli Parlimen PAS Jerai, Sabri Azit, hari ini mendedahkan ada usaha terancang oleh pihak tertentu dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang cuba ‘membunuh’ tulisan Jawi daripada diguna pakai dalam peperiksaan peringkat sekolah menengah atas.

Perkara itu terdedah selepas guru Pendidikan Islam memaklumkan kepadanya bahawa tulisan Jawi ditiadakan dalam soalan peperiksaan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan alasan pelajar berkenaan sudah menguasai pengkaedahan penulisan berkenaan ketika berada di Sekolah Menengah Bawah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3.

Sabri berkata, dalam mengangkat tulisan Jawi sebagai wahana ilmu sepatutnya KPM tidak terburu-buru membuat keputusan menghapuskan tulisan Jawi dalam peperiksaan SPM.

Sabri Azit

“Tindakan berkenaan seolah-olah menjadi penyambung pihak tertentu untuk membunuh khazanah ilmu diolah ke dalam tulisan yang berpengaruh di negara ini.

“Saya berpandangan KPM mestilah bertanggungjawab sepenuhnya atas kehilangan tulis Jawi yang dibuat secara halus. Agenda apakah pihak berkepentingan untuk menghapuskan pembelajaran dan pengajaran tulisan Jawi di peringkat menengah atas.

“Tindakan menghapuskan penggunaan tulis Jawi dalam peperiksaan SPM dengan hanya memasukkannya dalam buku teks adalah tidak memadai.

“Majoriti pelajar bukan hanya masih ketinggalan dalam menguasai tulisan Jawi dan hilang identiti, malah tidak tahu sejarah tulisan Jawi tetapi tiba-tiba KPM menghapuskan tulisan Jawi pada peringkat itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Sabri berkata di peringkat institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ada menyediakan kursus asas penulisan Jawi.

Terdahulu, Sabri mendesak kerajaan terutama KPM supaya membenarkan calon peperiksaan awam termasuk di peringkat SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan banyak lagi mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti biasa.

Sabri berkata tindakan berkenaan perlu kerana sesi pembelajaran dan pengajaran dalam talian diguna pakai sekarang dilihat kurang membantu pelajar menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.