Gerik: Beri laluan pada BN perkara mulia elak COVID-19

95

18 NOV: Memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik adalah langkah terbaik dan mulia yang boleh dilakukan parti-parti lain di saat negara masih berdepan ancaman wabak COVID-19.

Pengerusi Badan Perhubuhan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau berharap perkara itu menjadi kenyataan dengan hanya BN meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan yang perlu diadadakan ekoran pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman pada Isnin lalu.

“Kita tidak boleh menghalang PRK sebab ia termaktub dalam undang-undang, iaitu mana-mana kawasan yang dikosongkan kurang daripada tiga tahun, maka PRK kena dibuat.

“Justeru saya berpendapat adalah lebih mulia, lebih baik, kalau ia tidak ditandingi. Kerana, pertama masalah COVID-19. Lagi pun, ia tidak mengubah apa-apa kerana kerajaan telah pun ada.

“Hanya dengan satu kerusi, tak akan mengubah apa-apa. Jadi, saya yakin kalau semua parti berlapang dada menerima calon BN sebagai calon tunggal, kita tak perlu turun padang, berkempen, berjumpa orang ramai sekali gus mengelakkan merebaknya COVID-19,” katanya.

Saarani ditemui pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Sekretariat Usahawan Perak (STeP) dengan syarikat telco redONE Network Sdn Bhd di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Cadangan itu dikemukakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam selaras dengan perkembangan semasa pandemik COVID-19 ketika ini serta pengiktirafan kepada Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima baik cadangan supaya parti lain tidak meletakkan calon untuk melawan UMNO pada PRK Parlimen Gerik nanti.

Menteri Besar Perak itu berkata, dengan peningkatan jangkitan COVID-19 dalam negara ketika ini, adalah lebih baik sekiranya semua aktiviti termasuk berkempen dihentikan bagi mengelakkan penularan wabak itu.

“Kita cuba mengelak berlakunya PRK, usaha berkempen dan sebagainya yang boleh mengakibatkan penularan COVID-19. Kita dapati kes-kes positif semakin meningkat dan perhatian harus diberikan untuk menghentikan penularan wabak ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.