Darurat lindungi rakyat Sabah daripada COVID-19

34

18 NOV: Kerajaan negeri Sabah menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) daripada diadakan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya menyifatkan keputusan terbabit adalah satu keputusan bijak bagi melindungi kesihatan rakyat Sabah daripada pandemik COVID-19.

“Keperluan untuk menghentikan penularan virus dan melindungi kesihatan rakyat adalah sangat penting,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah COVID-19 sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengatasi wabak terbabit di Sabah.

Yang di-Pertuan Agong hari ini bersetuju, mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menasihati Seri Paduka berkenaan cadangan itu.

Dalam sesi berlangsung selama satu jam bermula dari jam 4 petang ini, Perdana Menteri mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.