315 individu ingkar SOP PKPP

44

18 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 315 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 310 individu telah dikompaun manakala tiga orang direman dan dua lagi dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (86), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (63), aktiviti pusat hiburan (39), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (23) dan lain-lain (29),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menambah, seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan dalam Op Benteng semalam.

Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan turut merampas sebanyak enam kenderaan darat.

“Sebanyak 275 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng juga dilakukan diseluruh negara yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia 210 SJR, PDRM 55 SJR dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 10 SJR,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 70,017 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa mulai 24 Julai lalu sehingga semalam.

Ismail Sabri menjelaskan, daripada jumlah itu, seramai 10,353 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 72 Hotel dan 22 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.

” Seramai 404 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 59,260 individu dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.