Zahid, Najib tunai solat jenazah Hasbullah

290

17 NOV: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pimpinan parti termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama para jemaah menunaikan solat jenazah Allahyarham Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Gerik di Masjid Sultan Abu Bakar, Raub malam tadi.

Hadir sama termasuk menziarahi jenazah Hasbullah di Hospital Raub sebelum itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan ahli-ahli Parlimen parti itu antaranya Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Noh Omar.

Jenazah Allahyarham Hasbullah akan dikebumikan di kampung halamannya di Gerik kira-kira jam 11 pagi ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata, secara peribadi beliau kehilangan seorang sahabat karib sejak zaman Pemuda UMNO.

“Saya kehilangan seorang sahabat karib. Penduduk Parlimen Gerik kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Semalam beliau berada di Dewan Rakyat menjalankan tanggungjawabnya yang terakhir. Allahyarham banyak berjasa kepada parti, agama, bangsa, negeri dan negara.

“ Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-fatihah,” katanya.

Hasbullah, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di Raub, Pahang petang semalam.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang, Gerik sebelum atau selewat-lewatnya pada waktu Zohor.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Aznel Ibrahim berkata, jenazah akan dibawa ke rumah Allahyarham di Kolam Air sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek dan kemudian dikebumikan.

Hasbullah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik disahkan meninggal dunia pukul 7 petang ini di Hospital Raub, selepas mendapat serangan jantung kira-kira 6.30 petang semasa berada di dalam kereta.

Allahyarham dilantik Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mei lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.