SPRM tahan 46 termasuk 27 pegawai imigresen

225

17 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar sindiket pemalsuan cop keluar dan masuk di sempadan Malaysia dengan penahanan 46 inidividu termasuk pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Selat di sekitar Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, semalam.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 46 tahun berkenaan termasuk 27 pegawai imigresen, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang dipercayai memainkan peranan sebagai orang tengah kepada sindiket terbabit.

Menurut sumber, sindiket berkenaan beroperasi menggunakan dua modus operandi berbeza iaitu pertama pengguna cop keluar masuk pada ‘pasport terbang’ dan kaunter khas di pintu masuk Malaysia.

Pada mulanya, ejen berkenaan akan menggunakan ‘pasport terbang’ untuk mengumpul dokumen perjalanan pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh.

“Pekerja asing berkenaan kemudiannya akan diberikan cop keluar dan masuk bagi membolehkan mereka menyambung visa lawatan sosial berkenaan.

“Bagaimanapun, hanya pasport saja yang sampai di pejabat Imigresen tanpa kehadiran warga asing terbabit sebagai pengesahan keluar atau masuk seperti mana yang disyaratkan,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata, modus operandi kedua adalah dengan menggunakan kaunter khas atau ‘setting counter’ yang biasa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 membabitkan PATI yang disenarai hitam dan sudah tamat tempoh visa.

“Kaedah kaunter khas ini mengenakan bayaran antara RM500 ke RM6,000 seorang untuk mereka bebas keluar masuk dan pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Sumber berkata, sindiket itu menjalankan aktiviti berkenaan sejak setahun lalu dan SPRM mengesan pembabitan mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Katanya, aktiviti itu semakin rancak apabila suspek mengambil peluang terhadap pekerja asing serta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terkandas di negara ini.

“Sindiket ini menerima banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing termasuk PATI yang mahu pulang ke negara asal mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber berkata, seramai 13 individu termasuk sembilan pegawai Imigresen direman tujuh hari bermula hari ini, di Mahkamah Majistret Johor Bahru, bagi membantu siasatan kes pemalsuan cop sempadan negara.

“Turut direman, empat orang yang dipercayai bertindak sebagai ejen membantu kegiatan jenayah terbabit dengan mendapatkan khidmat cop berkenaan bagi warga asing,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.