Penipuan SMS: 2 lagi individu direman

114

17 NOV: Seorang pengarah syarikat swasta dan seorang bekas ketua pegawai pemasaran di syarikat telekomunikasi direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 21 November berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 42 dan 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM jam 9 malam tadi ketika hadir memberikan keterangan.

“Mereka dipercayai memberi dan menerima rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.

Menurut sumber berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Malah, sehingga kini, SPRM sudah menahan 16 individu bagi membantu siasatan termasuk tiga pengarah syarikat yang dua daripadanya bergelar ‘Datuk’ kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.