Pembersihan jalan JKR bukan lagi bawah SWM

140

17 NOV: Perkhidmatan pembersihan jalan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di beberapa jalan utama perbandaran di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak 1 Januari lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, penyerahan perkhidmatan pembersihan tersebut yang melibatkan 1,449 jalan adalah selaras dengan arahan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), perkhidmatan pembersihan jalan-jalan tersebut dikeluarkan dari skop kerja syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Jalan-jalan tersebut berada di bawah pentadbiran dan seliaan JKR serta di luar daripada skop Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, penamatan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment itu melibatkan sebanyak 231 jalan JKR di Johor, 1,062 jalan JKR di Melaka dan 156 jalan JKR di Negeri Sembilan.

Mohd Norlisam menambah, ia meliputi perkhidmatan pembersihan jalan dengan menggunakan jentera pembersih jalan, kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di sepanjang jalan JKR, termasuk semua jalan utama di pusat bandar.

Tambah beliau lagi, dengan pengambilalihan perkhidmatan pembersihan oleh JKR, maka sebarang aduan atau isu kebersihan berhubung jalan JKR perlu diajukan kepada pihak yang berkaitan.

“Walau bagaimanapun, SWM Environment sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam memberi penerangan kepada orang awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai penyerahan perkhidmatan pembersihan jalan JKR.

“Di samping itu, SWM Environment sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti di kawasan-kawasan seliaan kami,” jelasnya.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai jalan-jalan seliaan SWM Environment dengan menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 (waktu operasi 8.00 pagi – 8.00 malam) atau menghantar mesej WhatsApp kepada 012 618 0082 atau emel kepada [email protected] – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.