Mahasiswa juga perlu bantuan tunai COVID-19

85

17 NOV: Kerajaan digesa memberikan bantuan kewangan khas menerusi Belanjawan 2021 sama ada dalam bentuk tunai atau baucar kepada golongan mahasiswa yang turut terjejas akibat penularan pandemik COVID-19, sejak Mac lalu.

Ahli Parlimen Bersatu Sipitang, Yamani Hafez Musa berkata, bantuan seumpama itu amat penting bagi membantu meringankan bebanan pelajar yang berasal dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) dan mempunyai bilangan tanggungan ramai.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menghulurkan lebih banyak bantuan kepada golongan B40 dan golongan pertengahan (M40) terutama mereka yang tinggal di bandar besar yang kini dihimpit kemiskinan dan peningkatan kos sara hidup akibat penularan COVID-19.

YAMANI HAFEZ

“Kos sara hidup tinggi dan harga rumah mahal di bandar sering menganggu kehidupan golongan B40 dan M40. Keadaan ini menjadi lebih teruk ketika negara menghadapi pandemik COVID-19 ini dan ketidaktentuan ekonomi.

“Justeru, saya mencadangkan kerajaan membenarkan pengeluaran caruman dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara pilihan sama ada bulanan atau pukal kerana keperluan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Yamani berkata langkah berkenaan perlu kerana hakikat kehidupan golongan B40 dan M40 sebenarnya adalah berbeza terutamanya mereka mempunyai tanggungan ramai selepas kehilangan pekerjaan, mata pencarian, pemotongan gaji dan sebagainya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya kemudahan pengeluaran diperluaskan kepada lebih ramai pencarum bukan hanya terhadap kepada 600,000 pencarum KWSP seperti mana diumumkan Menteri Kewangan, sebelum ini.

“Saya percaya tindakan berkenaan tidak akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan sekali gus dapat memastikan masa depan pencarum dengan had pengeluaran Akaun 1 KWSP ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.