Lima kluster baru, kes tempat kerja naik mendadak

580

17 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima lagi kluster COVID-19 melibatkan dua di Sabah dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Avenue melibatkan daerah Penampang dan kes indeks merupakan seorang penyelia tapak pembinaan yang telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 November.

Katanya, kes indeks telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah dan saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 109 lagi kes positif COVID-19.

“Kluster kedua ialah Kluster Kejora di Kota Kinabalu. Kes dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 November lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lapan lagi kes positif COVID-19 dan setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 71 individu telah disaring,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Kluster ketiga pula, kata Noor Hisham adalah Kluster Kasah di daerah Kepong, Kuala Lumpur dengan kes-kes bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pekerja di sebuah syarikat keselamatan.

Katanya, kesemua kes merupakan bukan warganegara dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh yang mana sejumlah 70 individu telah disaring setakat tengah hari ini dengan 19 kes dikesan positif COVID-19 dan 51 individu masih menunggu keputusan.

“Keempat, Kluster Summer di daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Kes indeks telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 10 November lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Sehingga 17 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 53 individu telah disaring dengan 11 kes dikesan positif COVID-19, 38 individu dikesan negatif dan empat individu masih menunggu keputusan,” jelasnya.

Tambahnya, terakhir ialah Kluster Mengketil di daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah di negeri Kelantan dan daerah Besut di negeri Terengganu.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan telah dikenal pasti positif COVID-19 pada 13 November lalu.

“Kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif COVID-19.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 210 individu telah disaring di mana 24 kes dikesan positif COVID-19, 164 individu dikesan negatif 22 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Sementara itu, kata Noor Hisham, daripada 162 kluster aktif COVID-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk empat kluster baharu yang diumumkan pada hari ini.

Katanya, peningkatan kes mendadak di negeri-negeri Lembah Klang akhir-akhir ini juga adalah disebabkan oleh peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja.

“Ini berikutan ketiga-tiga negeri ini adalah pusat tumpuan warga pekerja. Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, lima kluster diisytiharkan tamat pada hari ini iaitu Olive, Bangau-Bangau, Tasik, Buang Sayang dan Kau Sing. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.