Laporan semakan MA63 bukan untuk bacaan umum

89

17 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak bercadang untuk membentangkan laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) untuk bacaan umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, keputusan perbincangan dan kandungannya mempunyai perkara-perkara yang sensitif yang tidak boleh didedahkan kepada orang awam.

“Untuk makluman, kita kekal pendirian tiada keperluan untuk laporan ini didedahkan kepada umum. Keputusan ini dibuat setelah mengambil pelbagai aspek perundangan.

“Memandangkan isu kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal dan melibatkan perkara-perkara sensitif yang berstatus rahsia rasmi,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

hanifah hajar taib
HANIFAH HAJAR TAIB

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Warisan Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman tentang adakah kerajaan berhasrat untuk membentangkan laporan akhir bagi bacaan umum berhubung Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Walau bagaimanapun, Hanifah memaklumkan, kerajaaan PN masih meneruskan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tidak sama sekali berniat untuk melengahkan masa berhubung keputusan yang telah dicapai oleh Jawatankuasa Khas Kabinet terdahulu.

Menurut beliau, laporan akhir jawatankuasa MA63 telah dibentang kepada Jawatankuasa Khas Kabinet pada 18 November tahun lalu untuk dimuktamadkan keputusan menerusi laporan tersebut dan telah dibentang kepada jemaah menteri pada bulan Disember tahun yang sama.

“Kemudian 15 Januari 2020 telah bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut dibubarkan memandangkan objektif penubuhannya untuk mengkaji isu-isu pelaksanaan MA63 telah pun tercapai. Untuk tindakan selanjutnya Jemaah Menteri bersetuju pelaksanaan keputusan-keputusan yang dicapai oleh jawatankuasa kabinet tersebut akan dipantau melalui satu Majlis Khas dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Jemaah menteri dahulu turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah agensi baharu iaitu bahagian hal ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengurus Majlis Khas tersebut serta menyelars perkara berbangkit dari Sabah dan Sarawak khsususnya berhubung berjanjian 1963 (Sabah dan Sarawak),” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Azis tentang langkah berkesan bagi menangani kekurangan Jawatankuasa tersebut dan jaminan majlis itu dapat mempercepatkan hak Sabah dan Sarawak, Hanifah memberitahu pihaknya sentiasa melaksanakannya dengan berkualiti bagi memastikan jawatankuasa ini berfungsi dengan baik.

“Dari segi keinginan melaksanakan yang terbaik, kita berusaha bersungguh-sungguh, ada perkara yang telah dilaksanakan dan ada juga dalam peringkat perbincangan dan insya-Allah, akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.