KL dilanda banjir kilat lagi

389

17 NOV: Ibu negara sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang bermula kira-kira jam 4.30 petang ini.

Akibat hujan lebat selama dua jam itu, beberapa batang jalan utama di Kuala Lumpur dinaiki air termasuk Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Turut terjejas kawasan di utara Kuala Lumpur dan Rawang antaranya sebahagian Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Taman Setiawangsa.

Kawasan sekitar susur keluar Rawang di Lebuh Raya Utara Selatan juga dinaiki air lewat petang tadi.

Beberapa jalan di kawasan sekitar Jalan Semarak sehingga Masjid Khalid Al Walid juga sesak akibat air naik.

Berdasarkan maklumat awal dari media sosial, keadaan banjir kilat di ibu negara yang berlaku dengan pantas itu menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

Lalu lintas di sekitar ibu negara turut terjejas petang ini dan pengguna jalan raya juga berdepan kesesakan akibat banjir tersebut.

Di Lebuhraya DUKE, seorang pengguna media sosial memuat naik video yang menunjukkan lebuh raya tersebut dinaiki air.

Berikutan keadaan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati.

Kawasan perumahan sekitar Setiawangsa juga dilanda banjir kilat.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan banjir kilat dan dua kes pokok tumbang.

Menurutnya, banjir kilat berlaku di Jalan 21/26, Taman Sri Rampai, Jalan Hang Lekui, Jalan Segambut dan Jalan Keramat.

Katanya, anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan mendapati air naik 0.5 hingga 0.9 meter namun surut tidak lama kemudian.

“Ada dua mangsa yang terperangkap di dalam rumah di Jalan Keramat namun dapat diselamatkan.

“Bagi kawasan lain pula, tidak membabitkan sebarang mangsa,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kejadian pokok tumbang pula dilaporkan di Jalan Damansara dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas namun tidak membabitkan mangsa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.