DAP cadang semua beri laluan pada BN di Gerik

137

17 NOV: Semua pihak dicadang memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik yang perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, demi mengelakkan risiko penularan COVID-19, kemenangan percuma kepada UMNO harus diusahakan semua parti di kerusi tersebut.

“Pemergian Hasbullah mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam 60 hari, yang boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan COVID-19.

“Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan bahawa Malaysia berada dalam gelombang ketiga jangkitan COVID-19 yang teruk, seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Kerusi Parlimen Gerik kosong berikutan kematian Hasbullah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik pada Isnin akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan ke rumahnya di Raub, petang semalam.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Hasbullah.

“DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli Parlimen UMNO Gerik yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.

“Walaupun berada di sebelah pihak lawan, Hasbullah telah berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai ahli Parlimen dan kepada rakyat di kawasannya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.