Belanjawan 2021 cetus kesan penggandaan ekonomi

74

17 NOV: Peruntukan sebanyak RM322.5 bilion yang disediakan melalui Belanjawan 2021 boleh mencetuskan kesan penggandaan terhadap ekonomi negara.

Ahli Parlimen BN Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpandangan, secara keseluruhannya Belanjawan 2021 adalah satu bajet yang baik.

“Berdasar pengiraan saya ia akan memberikan kesan lima kali ganda kepada peningkatan ekonomi negara walaupun ada kawan kata 10 kali ganda.

“Ini bermakna jika pengiraan saya betul maka ekonomi negara bernilai bertrilion ringgit akan wujud pada tahun depan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, walaupun Belanjawan 2021 dianggap agak bagus, beliau berharap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh penyokong kerajaan dan pembangkang.

Menurut beliau, tindakan itu perlu bagi memperbaiki lagi kandungan Belanjawan 2021 supaya benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia dan mengatasi masalah rakyat ketika ini.

“Perkara berkenaan perlu bagi merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara supaya lebih rancak semula, mulai tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu Tajuddin juga menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap orang tengah dan pengilang yang membuat pemotongan harga sehingga 40 peratus harga padi dibeli daripada pesawah, sekali gus menyebabkan golongan petani kini hidup dalam keadaan tersepit. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.